Wednesday 11 February 2015

Kajian dari Mardi

RAMAI yang beranggapan kelulut merupakan sejenis serangga seperti lebah madu yang tidak boleh menghasilkan madu dalam kuantiti banyak. Hakikatnya, serangga yang banyak ditemui di hutan hujan tropika itu boleh membantu menjana pendapatan seseorang jika bersungguh-sungguh mengusakan dan tahu kaedahnya.

Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) penternakan kelulut yang diusahakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya membuktikan meningkatkan pengeluaran madu kelulut sehingga 2 kilogram (kg) untuk satu koloni dalam tempoh satu bulan.

Menurut Pegawai Penyelidik MARDI, Mohd. Fahimee Jaapar, sebelum ini kelulut hanya digunakan sebagai ajen pendebungaan sahaja dan biasanya boleh menghasilkan madu dalam tempoh satu bulan.

"Sebelum tahun tahun 1990, madu kelulut belum lagi dikomersialkan, selepas melihat potensi kelulut, satu program telah diaktifkan oleh MARDI untuk mengkaji perilaku serangga tersebut," katanya ketika ditemui.

Hasil penyelidikan tersebut telah berjaya dimanfaatkan oleh beberapa usahawan produk berasaskan madu, termasuklah Syakirah Hamdan, 24.

Menurut pengusaha madu kelulut yang banyak mendapat nasihat dan tunjuk ajar MARDI itu, beliau berjaya menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madu dan propolis serangga tersebut.

Propolis ialah struktur binaan sarang kelulut dan kantung simpanan madu yang dihasilkan daripada campuran resin pelbagai sumber botani seperti pokok dan tumbuh-tumbuhan.

Potensi kelulut

Propolis terbahagi kepada dua iaitu propolis yang lembut dan keras dan rapuh.

Syakirah yang mengambil alih perniagaan Trigona Bee daripada ibunya, Norlezah Baharom, 53, akhir tahun lalu menjelaskan, hasil kerjasama dan khidmat nasihat MARDI membolehkan madu dihasilkan lebih banyak dan berkualiti sehingga boleh dikomersialkan.

Ujar bekas penuntut Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur jurusan Diploma Perniagaan itu, sebelum ini Trigona Bee ditubuhkan pada tahun 1995, syarikat tersebut hanya menternak lebah madu sahaja, namun setelah mendapati potensi dan khasiat madu kelulut lebih baik maka syarikat tersebut cuba kepada menternak kelulut.
MADU kelulut mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan baik untuk kesihatan.

"Madu lebah kelulut mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan dipercayai dapat melambatkan proses pengoksidaan dalam badan. Ia baik untuk mengurangkan tahap kolesterol dalam plasma darah dan risiko mendapat kanser perut," katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor.

Kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut telah menyebabkan permintaannya meningkat sekali ganda sehinggakan syarikat tersebut sukar menampung permintaan tersebut. Madu kelulut syarikat itu diperoleh daripada penternakan dua buah ladang yang terletak di Semenyih dan Serdang, Selangor.

Tambah gadis yang masih belum berumah tangga itu, lebihan permintaan tersebut berlaku disebabkan kelulut hanya menghasilkan madu secara bermusim iaitu pada musim pokok berbunga sedangkan permintaannya berterusan.

Ujar Syakirah, madu kelulut dijual pada harga RM40 bagi 350 gram.

Selain penjualan madu lebah dan kelulut, syarikat Trigona Bee turut menjual koloni kelulut kepada pelanggan yang berminat untuk menternaknya pada harga antara RM400 hingga RM1,000 untuk satu koloni bergantung kepada spesies kelulut.

"Sifat kelulut yang tidak menyengat berjaya menarik minat ramai orang untuk membeli koloni dan menternaknya sendiri di rumah," kata Syakirah yang banyak dibantu keluarganya.

Jenis madu

Kini, hasil jualan keseluruhan produk syarikatnya mampu mencecah RM20,000 sebulan sekali gus menjadikan Syakirah tidak menang tangan.

Selain madu kelulut, syarikatnya turut menawarkan madu-madu lainseperti Madu Hutan, Madu Habbatus Sauda, Royal Honey, Madu Propolis,

"Madu-madu tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri.

"Misalnya, madu hutan yang boleh membantu meringan batuk, lelah, selesema dan masalah tenaga batin," katanya sambil memberitahu produk tersebut mendapat sambutan daripada pengguna dari luar negara seperti Asia Barat.


No comments:

Post a Comment